• 2025-07-28 08:22 PM

MIRI: Seorang mekanik berusia 30-an mengalami kerugian sebanyak RM79,000 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian di Miri pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian itu berlaku pada 24 Julai kira-kira pukul 12 tengah hari apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

“Panggilan itu kemudiannya dipindahkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Kuala Lumpur.

“Mangsa diberitahu bahawa dia terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram dan diminta memindahkan wang ke akaun pihak ketiga untuk siasatan,“ kata Mohd Farhan dalam kenyataan hari ini.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas merasa curiga dengan permintaan suspek dan membuat laporan polis pada 27 Julai.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 20-an juga menjadi mangsa penipuan dalam talian apabila kehilangan RM7,000 semasa ingin membeli kereta terpakai melalui iklan di Facebook.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai ejen Sabrina Motor Group di Bintulu dan memberikan pautan laman web palsu.

“Mangsa diminta membayar deposit dan yuran penukaran nama sebelum menyedari ia satu penipuan,“ jelas Mohd Farhan.

Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran dalam talian dan mengesahkan maklumat sebelum membuat sebarang pembayaran. – Bernama