KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN (CPR) 6/2025 yang berlangsung baru-baru ini membincangkan kerangka kerjasama baharu dengan negara rakan kongsi.
Tumpuan utama diberikan kepada penyediaan Pelan Tindakan yang akan menentukan hala tuju kerjasama serantau dalam jangka masa panjang.
Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Datin Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason, menjelaskan bahawa mesyuarat ini merupakan sebahagian daripada usaha melaksanakan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
“Mesyuarat ini pada asasnya bertujuan membincangkan hala tuju kerjasama dengan rakan kongsi kita,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan pengukuhan Sekretariat ASEAN, persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, serta pelan kerja CPR.
Kesemua 10 negara anggota ASEAN menghadiri mesyuarat ini, bersama Timor-Leste yang menyertai sebagai pemerhati.
CPR berperanan sebagai badan penyelaras utama bagi operasi harian ASEAN, memastikan pelaksanaan inisiatif serantau berjalan lancar. – Bernama