• 2025-07-20 11:11 AM

BATU KAWAN: Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 bakal melabuhkan tirai hari ini selepas empat hari penuh kemeriahan di pekarangan Stadium Batu Kawan.

Hari terakhir sambutan bermula seawal 6.30 pagi dengan aktiviti sihat seperti zumba dan senam seni, diikuti Larian Kembara Ilmu dan Fun Run Unity. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertandingan peragaan busana tradisional pelbagai kaum di pentas utama bermula 9 pagi.

Bagi kanak-kanak, persembahan muzikal ‘Didi & Friends’ diadakan dalam dua sesi pada pukul 12 tengah hari dan 2 petang. Mereka juga berpeluang beramah mesra dengan maskot siri animasi tersebut.

Peminat seni dan budaya tidak ketinggalan dengan pertandingan boria terbuka bermula 4 petang, selain pelbagai aktiviti menarik di pentas mini foodunites, usahawan, dan Rumah KAMI.

“Orang ramai masih berpeluang menyertai kemeriahan edisi ketiga SMP Peringkat Kebangsaan yang akan melabuhkan tirai secara rasminya pada 6 petang hari ini,“ menurut kenyataan rasmi.

Bertemakan “Harmoni Dalam Kepelbagaian”, SMP 2025 menampilkan lebih 40 aktiviti utama termasuk pameran rumah etnik, sukan tradisional, dan jualan usahawan perpaduan.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan lebih 250,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan sambutan ini.

“Sempena minggu perpaduan itu juga, pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat disediakan termasuk diskaun saman PDRM dan JPJ,“ tambah kenyataan tersebut.

Sambutan ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam - Bernama