• 2025-08-03 10:10 AM

KUALA LUMPUR: Mobile Legends Bang Bang (MLBB) bukan sekadar permainan popular, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem e-sukan negara serta menyumbang kepada agenda pembangunan belia dan ekonomi digital.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata, sokongan kerajaan terhadap MLBB berasaskan impak besar permainan itu terhadap pembangunan belia dan pertumbuhan industri digital.

“Kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia terus menyokong MLBB kerana ia memberi sumbangan besar terhadap pembangunan belia. Ia bukan sekadar permainan, ia telah membantu merangsang pertumbuhan ekonomi digital, meningkatkan penglibatan belia serta menjadi platform untuk masyarakat menikmati serta lebih memahami ekosistem e-sukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kerajaan telah mengintegrasikan MLBB ke dalam program peringkat sekolah bagi melahirkan bakat baharu dalam pelbagai bidang seperti penyiaran, kejurulatihan, dan pemakanan.

“Kita bukan hanya bercakap mengenai permainan atau sebagai atlet, kita menghasilkan pakar dalam pelbagai bidang,” jelasnya.

Perkembangan e-sukan MLBB di Malaysia turut mencatat kemajuan ketara, termasuk kejayaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) merangkul kejuaraan antarabangsa pertama negara di Kejohanan Piala Pertengahan Musim MLBB 2024. - Bernama