KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar sebahagian jumlah penghakiman, iaitu RM400,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam kes saman fitnah, pada atau sebelum 31 Dis ini.

Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Lim berkata Hakim Roz Mawar Rozain turut mengarahkan Muhyiddin membayar baki RM1.02 juta sebelum atau pada 27 Jan tahun depan.

“Mahkamah memberikan penangguhan bersyarat terhadap Muhyiddin dengan kos RM5,000 dan memerintahkan beliau membayar RM400,000 pada 31 Dis ini serta baki RM1.02 juta pada 27 Jan 2025,“ kata peguam itu kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar hakim.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin turut mengesahkan perkara itu.

Pada 9 Dis lepas, Lim memfailkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin kerana gagal membayar jumlah penghakiman RM1.402 juta (termasuk kos RM50,000 dan alokatur RM2,000) yang diperintahkan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov lepas.

Muhyiddin memfailkan permohonan untuk menangguhkan pembayaran jumlah penghakiman itu atas alasan jumlah RM1.4 juta adalah besar dan beliau memerlukan masa mengumpul jumlah itu serta bersedia mendeposit 50 peratus jumlah penghakiman dalam akaun simpanan tetap yang akan dipegang peguam Lim sebagai pihak berkepentingan, sementara menunggu pendengaran dan pelupusan rayuan beliau di Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Nov lepas, mahkamah memerintahkan Muhyiddin membayar RM1.35 juta sebagai ganti rugi kepada Lim kerana memfitnah Ahli Parlimen Bagan itu berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Ia susulan Roz Mawar membenarkan saman Lim setelah mendapati bekas menteri kewangan itu berjaya membuktikan kesnya. Mahkamah turut memerintahkan Muhyiddin membayar kos RM50,000 kepada Lim.

Lim pada 27 Mac 2023, memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook yang melibatkan beliau berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Pengerusi DAP itu turut mendakwa kenyataan fitnah terbabit juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasa beliau dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti terhadap yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.