Your Title

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas bersama cucu perempuan berusia 12 tahun yang dikhuatiri sesat ketika dalam perjalanan ke kebun durian di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Baharu semalam, disambung semula pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata operasi bermula pada 8.30 pagi melibatkan lapan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu.

“SAR dimulakan seawal 8.30 pagi tadi namun kedua-duanya masih belum dijumpai,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata SAR hanya diteruskan sehingga 7.20 malam sebelum ditangguhkan atas faktor gelap dan keadaan cuaca hujan di lokasi, dan akan diteruskan pagi ini.

Terdahulu wanita berkenaan sempat menghubungi anaknya pada 12 tengah hari memaklumkan dia sesat sebelum telefon bimbitnya dipercayai kehabisan bateri dan susulan itu, anak sulungnya membuat laporan polis pada 3 petang, semalam.