• 2025-10-16 11:49 AM

RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa mengumumkan kesediaan kerajaannya melaksanakan rancangan pembinaan semula Semenanjung Gaza yang musnah akibat perang.

Beliau mengakui tugas tersebut amat sukar dan kompleks namun kerajaan bersedia meneruskan perbincangan dengan semua pihak berkaitan.

“Kita akan bangkit daripada malapetaka di Gaza ke arah pembentukan sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya,” kata Mustafa dalam bengkel di Ramallah.

Beliau menekankan hasrat untuk mewujudkan negara bebas daripada perang, pendudukan dan penempatan haram serta pengangguran.

Mustafa menyatakan jaminan pembinaan semula Gaza bermula dengan pemulihan penuh legitimasi nasional.

“Institusi sivil dan keselamatan negara mampu memimpin proses pemulihan, pembinaan semula dan penyatuan institusi.”

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini mengumumkan persetujuan Israel dan Hamas mengenai fasa pertama pelan gencatan senjata.

Fasa pertama yang berkuat kuasa Jumaat lalu melibatkan pembebasan 20 tawanan Israel hidup-hidup dan penyerahan mayat lapan tawanan lain.

Sebagai pertukaran, hampir 2,000 tahanan Palestin akan dibebaskan daripada penjara Israel.

Fasa kedua pelan mencadangkan penubuhan mekanisme tadbir urus baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas.

Ia juga merangkumi penubuhan pasukan multinasional dan proses pelucutan senjata Hamas.

Serangan Israel sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 67,900 penduduk Palestin di Gaza.

Kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak manakala majoriti kawasan Gaza menjadi tidak boleh didiami. – Bernama-Anadolu