KUANTAN: Seorang pegawai bank kerugian RM260,400 selepas terperdaya dengan sindiket ‘phone scam’ atau penipuan melalui panggilan telefon.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 55 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa pegawai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 16 Julai lepas, dan memaklumkan dia terlibat dengan jenayah komersial.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada suspek yang kononnya polis dan menyatakan surat Perintah Penangkapan dan Perintah Pembekuan Aset daripada Mahkamah Persekutuan Malaysia terhadap mangsa telah dikeluarkan.

“Mangsa turut diminta menyerahkan harta bagi tujuan itu dan memindahkan wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) ke dalam akaun bank atas arahan suspek bersama-sama maklumat akaun bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari wang dalam akaun miliknya berkurangan apabila memeriksa dengan bank semalam dan mendapati beberapa transaksi pengeluaran wang berjumlah RM260,400 telah dilakukan.

“Sumber kerugian kewangan mangsa adalah duit KWSP miliknya. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.