Pelajar, rakyat Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang, keselamatan mereka jadi keutamaan - Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh.

“Sama ada mereka (pelajar) bantuan kerajaan atau pelajar swasta, kita akan bantu, dan Menteri Luar akan mengadakan mesyuarat kalau perlu menyewa pesawat untuk bawa mereka pulang.

“Ketika ini keselamatan anak-anak Malaysia jadi keutamaan kita. Beberapa hari pertama itu nampak keadaan mungkin terkawal, tetapi sekarang ini dari maklumat kedutaan rasanya lebih sesuai kalau mereka dibawa pulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

* Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang medianya hari ini berkata kerajaan akan membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh selepas pelan pemindahan segera itu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Perdana Menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim - fotoBERNAMA