the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, July 26, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pelan perkasa keupayaan sistem pertahanan angkasa negara sedang dirangka – Adly

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang merangka pelan jangka masa panjang untuk memperkasakan keupayaan sistem pertahanan angkasa negara, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Adly berkata pelan itu yang akan bermula pada 2030 hingga 2044 meliputi pelancaran Satelit Ketenteraan Negara bagi menyokong Sistem Pertahanan Angkasa.

Beliau berkata sistem itu meliputi pelbagai elemen termasuk pertahanan satelit yang melindungi satelit daripada ancaman senjata antisatelit (ASAT), serpihan angkasa dan serangan siber serta Space Situational Awareness (SSA) yang memantau angkasa untuk menjejak objek dan pengesanan aktiviti.

“Selain itu, ia juga dilengkapi sensor berasaskan angkasa yang menggunakan penderia di angkasa untuk mengesan pelancaran peluru berpandu, letupan nuklear dan ancaman lain bagi memberi amaran awal dan meningkatkan kesedaran situasi kepada negara,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk Lim Pay Hen yang bertanyakan sejauh manakah kementerian bergerak ke arah pembangunan sistem pertahanan angkasa memandangkan teknologi pertahanan angkasa berteraskan teknologi satelit dan kecerdasan buatan (AI) kini banyak dibangunkan dan diterima pakai oleh kuasa besar dunia.

Adly berkata bagi mencegah dan memusnahkan ancaman yang datang, pembangunan sistem roket dan peluru berpandu yang mampu beroperasi di angkasa juga akan diberi tumpuan supaya negara mempunyai keupayaan defensif.

“Mengambil kira kemampuan kewangan negara, perancangan untuk memiliki sistem pertahanan angkasa pada masa terdekat akan difokuskan kepada keupayaan bersifat defensif terlebih dahulu.

“Pertimbangan untuk memiliki keupayaan ofensif seperti sistem serangan peluru berpandu berasaskan angkasa memerlukan peruntukan yang lebih besar dan perlu dilaksanakan apabila negara memiliki keupayaan kewangan yang lebih baik pada masa akan datang,“ katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda yang bertanyakan sama ada terdapat syarikat tempatan mempunyai kepakaran untuk menawarkan penyelesaian teknologi satelit bagi pertahanan angkasa, Adly berkata ia sememangnya ada dan tidak hanya melibatkan industri malah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sebenarnya kepakaran itu ada dan kalau ada orang menyebut adakah Malaysia mampu membina satelit pertahanan, jawapannya ya, kita mampu. Cuma antara cabaran kita ialah sejauh mana kita mahu berbelanja untuk itu selain harus mengambil kira aspek lain termasuk kesan perbelanjaannya kepada elemen pertahananan lain,“ katanya.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings