JOHOR BAHRU: Penganjuran Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) yang dilaksanakan setiap tahun bukan sekadar simbolik tetapi menjadi wadah penting dalam menyemai, menyubur dan menyemarakkan semangat cintakan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan berkata MPBKKJG yang diadakan di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada Ahad ini mengambil pendekatan berfokuskan rakyat, selaras tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
“Antara program sisipan yang melibatkan rakyat secara langsung seperti Bakti Komuniti MADANI di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah pada 26 Julai, manakala Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk serta Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 pula pada 27 Julai juga di Dataran Tanjung Emas.
“Pemukiman Komuniti MADANI pula diadakan di Mini Stadium Bistari Ayer Keroh, Melaka pada 26 Julai,’’ katanya kepada Bernama.
Julina berkata pemilihan Muar yang terletak bersempadan dengan Melaka, kira-kira dua jam setengah perjalanan dari Johor Bahru, antara lain disebabkan kekayaan warisan sejarah dan budaya seperti zapin, ghazal dan kuda kepang di daerah yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja itu.
“Kesemua elemen itu juga mempromosikan identiti Johor dan mempertingkatkan pengalaman pengunjung dalam suasana patriotik yang mesra rakyat,” katanya.
Julina berkata penganjuran majlis itu bukan sahaja dapat memperkukuh semangat patriotik, tetapi turut menghubungkan rakyat Johor dengan naratif nasional, selain menjadi lebih peka, cakna dan komited terhadap usaha mengekalkan keharmonian, kemajuan dan kemerdekaan negara - BERNAMA