KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semakan semula dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak dijangka menjejaskan kontraktor yang terlibat terutamanya dalam hartanah kediaman, seperti MGB Bhd dan Kerjaya Prospek Group Bhd, kata RHB Investment Bank Bhd.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata kontraktor yang terlibat dalam pembinaan projek komersil, perindustrian dan infrastruktur seperti Sunway Construction Group Bhd, Gamuda Bhd, dan IJM Corporation Bhd akan dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus untuk perkhidmatan pembinaan.
“Kontraktor boleh mengambil kira enam peratus cukai perkhidmatan apabila membida projek baharu.
“Bagi projek yang sedang dibangunkan, kontraktor berkemungkinan boleh melaraskan semula harga atau jumlah kontrak untuk kontrak boleh disemak bagi mengambil kira peluasan cukai perkhidmatan itu,“ katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu RHB Investment Bank berkata pusat data dan segmen pembinaan utama dijangka kekal kukuh meskipun pelaksanaan peluasan SST.
“Dengan mengandaikan penyedia perkhidmatan awan berskala besar mempunyai tiga projek pusat data baharu di Malaysia bernilai RM1 bilion setiap satu untuk diberikan kepada kontraktor, cukai perkhidmatan ke atas kerja kontraktor akan berjumlah RM60 juta setiap projek atau RM180 juta secara keseluruhan.
“Ini mewakili kira-kira 0.2 peratus daripada pendapatan bersih tahun kewangan 2024 bagi penyedia perkhidmatan awan berskala besar seperti Google dan Microsoft,” katanya.