PUTRAJAYA: Pemberhentian petugas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kebanyakannya melibatkan tenaga kerja kontrak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia banyak yang kontrak,” kata beliau secara ringkas ketika diminta mengulas laporan Petronas akan memberhentikan kira-kira 5,000 tenaga kerjanya sebagai langkah penstrukturan semula.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz dilaporkan berkata Petronas akan memberhentikan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak dan gas nasional itu.
Tengku Muhammad Taufik turut menafikan bahawa syarikat milik negara itu akan keluar daripada perniagaannya di Kanada.
Petronas sebelum ini dilaporkan berkata ia perlu ‘menyesuaikan saiz’ tenaga kerjanya bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam beberapa dekad akan datang.
Petronas mempunyai hampir 50,000 pekerja, menurut laman sesawangnya.