• 2025-07-28 08:18 PM

ALOR GAJAH: Seorang penganggur lelaki berusia 51 tahun maut selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu berikutan tindakannya disyaki melakukan kelucahan melampau di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jasin.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam semalam dengan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan leher.

Mangsa mempunyai dua rekod jenayah terdahulu di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana kesalahan serupa pada 2003 dan 2024.

“Mangsa dikatakan melakukan kelucahan melampau pada pukul 7.26 malam sebelum dikejar dan dipukul beberapa individu.

“Dia cuba melarikan diri sejauh 200 meter termasuk terjun ke sungai sebelum ditangkap dan dipukul lagi,“ kata Dzulkhairi.

Tujuh lelaki berusia 20-an hingga 50-an, termasuk seorang warga Pakistan, direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kes berasingan, seorang penunggang motosikal berusia 30-an direman tiga hari selepas terlibat pergaduhan di kawasan Zon Bebas Kenderaan berdekatan Stadthuys, Banda Hilir.

Kejadian berlaku apabila sekumpulan penunggang motosikal enggan beredar selepas disaman oleh penguat kuasa MBMB.

Mangsa dipukul menggunakan topi keledar dan pengunci tayar sebelum dikejar ke hospital.

Seramai 23 individu ditahan, dengan 22 dibebaskan atas jaminan manakala seorang suspek utama direman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 (merusuh) dan Seksyen 186 (menghalang penjawat awam) Kanun Keseksaan. – Bernama