MELAKA: Seorang pengasuh direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah di sini.

Perintah reman terhadap wanita berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri selepas membenarkan permohonan pihak polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata di taska berkenaan pada 3.30 petang semalam bagi membantu siasatan.

Bapa bayi itu Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, memaklumkan anaknya Muhammad Al Fateh Amri baru lima hari dihantar ke taska berkenaan.

Lebih menyayat hati Mohd Fikry Amri dan isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, sudah menunggu 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata dan tidak menyangka insiden itu berlaku selepas isterinya mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak.