KOTA BHARU: Polis menggagalkan cubaan menyeludup 41,000 kilogram buah kelapa yang dianggarkan bernilai RM205,000 di Kampung Bunohan, Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pada kejadian 9.50 pagi itu, pihaknya yang sedang melaksanakan op taring wawasan Kelantan telah menahan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas sebuah treler mendapati, ada timbunan buah kelapa tanpa dokumen yang sah ditemukan di belakang kenderaan itu.

“Seorang lelaki berumur 37 tahun turut ditahan dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup buah kelapa itu ke negara jiran, dan kes disiasat di bawah Peraturan 4(2)(b) Akta Fama 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Ros Azhan berkata suspek dan kesemua barang rampasan telah diserahkan ke Komtak Pangkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.