IPOH: Seorang penyelia restoran didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi rasuah kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Heng Siou Wei, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Heng didakwa memberi suapan RM15,000 kepada seorang pegawai kanan JIM sebagai suatu balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja-pekerja tertuduh yang tidak memiliki sebarang pas sah untuk berada di Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ipoh pada 3 pagi, 12 Sept 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, JIM Negeri Perak telah menjalankan satu operasi iaitu Ops Selera pada 9.30 malam di sebuah kedai makan di Teluk Intan pada Rabu (11 Sept 2024).

Hasil pemeriksaan mendapati pekerja restoran berkenaan iaitu seorang lelaki warga Vietnam, seorang wanita warga Indonesia serta lapan lelaki warga Myanmar dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Heng merayu supaya pekerjanya dilepaskan daripada diambil tindakan, kemudian mengeluarkan wang berjumlah RM15,000 untuk diberikan kepada pegawai berkenaan walaupun pegawai terbabit telah memberikan amaran.

Susulan itu, pegawai berkenaan menahan tertuduh dan merampas wang tunai itu.

Wang suapan itu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziyah Mansor dan Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.