• 2025-07-27 09:08 AM

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan perhimpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata himpunan berkenaan berlangsung dalam keadaan aman, terkawal dan tanpa sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam.

“Tiada tangkapan dilakukan sepanjang perhimpunan berlangsung, semua elemen kawalan dilaksanakan secara profesional dan beretika, mencerminkan pendekatan tenang serta tanggungjawab PDRM dalam memastikan ruang demokrasi dapat diisi dengan selamat dan berhemah,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,000 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta pelbagai jabatan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ditugaskan untuk membantu mengawal keadaan.

Pemantauan polis mendapati kehadiran peserta dianggarkan kira-kira 18,000 orang.

Perhimpunan berkenaan menyaksikan peserta berkumpul secara berperingkat seawal 10.30 pagi di kawasan sekitar Masjid Negara, pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni dan kemudian bergerak ke Dataran Merdeka kira-kira 2 petang.

“Sepanjang tempoh perhimpunan PDRM telah melaksanakan pemantauan keselamatan dan kawalan lalu lintas di semua laluan yang terlibat bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara, turut kelihatan beberapa tokoh politik dan wakil pertubuhan yang hadir memberikan ucapan kepada peserta,“ katanya.

Beliau menegaskan PDRM komited dalam memastikan ketenteraman awam, keselamatan negara dan kelangsungan hak rakyat dilindungi secara adil, berhemah serta mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan- BERNAMA