KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 1,478 unit peranti rokok elektronik (vape) serta 2,890 cecair vape dalam satu operasi di Kampung Chabang Empat, Tok Mek Ngah, Tumpat.
Rampasan bernilai lebih RM200,000 itu dilakukan semalam sekitar jam 4.30 petang dengan kerjasama Majlis Daerah Tumpat (MDT).
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun berada di premis berkenaan tetapi gagal mengemukakan dokumen atau lesen perniagaan yang sah.
“Sebanyak 2,890 unit cecair dan 1,478 peranti vape ditemui dalam premis tersebut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM273,000 dan hasil rampasan diserahkan kepada MDT untuk tindakan selanjutnya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDT 2019. - Bernama