• 2025-08-02 10:04 AM

IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis bahan tembaga, beberapa jentera, dan mesin bernilai RM8,586,000 dalam operasi penguatkuasaan di sebuah kilang tanpa lesen di Simpang Pulai.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata seorang lelaki tempatan turut ditahan dalam operasi yang dinamakan Ops Hazard itu. “Pasukan Gerakan Am yang dibantu Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak, Majlis Perbandaran Batu Gajah, serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, membuat tangkapan ke atas pekerja lelaki dewasa tempatan berusia 40-an bersama rampasan di sebuah kilang pemprosesan habuk dan bahan mentah tembaga kepada sekerap tembaga, disyaki untuk dieksport ke negara luar,“ katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil risikan selama sebulan mendapati aktiviti tersebut telah dijalankan hampir setahun, dan pemeriksaan menunjukkan kilang beroperasi tanpa kelulusan JAS. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dengan JAS Perak turut mengambil tindakan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127.

Sharum menambah, kes turut disiasat di bawah Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana pengisytiharan tidak betul yang mengurangkan pendapatan kena cukai. Jika sabit kesalahan, penalti 45 peratus daripada cukai yang ditipu akan dikenakan. - Bernama