• 2025-08-06 11:11 AM

NEW DELHI: Ketua penasihat kerajaan interim Bangladesh, Muhammad Yunus pada Selasa mengumumkan bahawa pilihan raya umum negara itu akan diadakan pada Februari tahun depan, ketika negara itu memperingati setahun selepas peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina.

“Bagi pihak kerajaan sementara, saya akan menghantar surat kepada Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya untuk meminta Suruhanjaya Pilihan Raya mengatur pilihan raya umum pada Februari 2026, sebelum Ramadan.

“Kami akan memulakan proses penyerahan kuasa kepada kerajaan pilihan rakyat,” kata Yunus dalam perutusan khas kepada rakyat pada malam Selasa.

Sebagai mengenang peristiwa berdarah protes pelajar Julai lalu, pelbagai majlis peringatan dianjurkan di seluruh negara, memperingati mereka yang terkorban dalam insiden yang mendapat reaksi keras kerajaan Liga Awami.

Sheikh Hasina, 77, meletak jawatan dan melarikan diri ke India pada 5 Ogos dan tarikh itu kini dikenali sebagai “Hari Kebangkitan Julai”.

“Pada hari ini, tanah air kita yang tercinta dibebaskan daripada pemerintahan fasis yang berpanjangan,” kata Yunus.

Pilihan raya parlimen di negara yang mempunyai 170 juta penduduk itu dianggap sebagai langkah penting ke arah membina Bangladesh baharu yang berteraskan institusi yang kukuh serta komitmen terhadap keadilan, kesaksamaan dan kebajikan.

Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang dipimpin bekas Perdana Menteri Khaleda Zia muncul sebagai antara pesaing utama untuk membentuk kerajaan baharu.

Sementara itu, Parti Rakyat Kebangsaan yang ditubuhkan oleh kumpulan pelajar yang memimpin kebangkitan rakyat, menyeru kepada pembentukan perlembagaan baharu seiring usaha merombak sistem politik negara.

Jamaat-e-Islami, yang menghadapi sekatan ketat semasa pemerintahan Sheikh Hasina pula menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya, memandangkan tiga pilihan raya lepas dikritik hebat sebagai tidak telus dan tidak adil.

“Pilihan raya ini akan menjadi asas kepada pembinaan semula Bangladesh. Bersedialah untuk menghadapinya.

“Sekian lama, kita semua tidak dapat mengundi. Kali ini, setiap rakyat akan turun mengundi. Tiada siapa akan diketepikan,” tegasnya. - Bernama