• 2025-08-05 02:36 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati wakil rakyat pembangkang supaya mencapai kesepakatan terlebih dahulu sebelum mengemukakan tuntutan berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Anwar berkata sekiranya ahli Parlimen pembangkang berjaya mencapai persetujuan bersama, mereka boleh berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang diberi mandat untuk menguruskan perkara tersebut.

“Saya setuju, sebab itu saya minta TPM (Fadillah) terbuka untuk mendengar. Cuma kalau mula, mesti ada kesepakatan di antara ahli Parlimen pembangkang dulu dan setakat ini mereka belum mencapai kata sepakat. Ada yang setuju runding, ada yang tak setuju runding,“ katanya.

Beliau mencadangkan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim berunding dahulu dengan Perikatan Nasional dan ahli Parlimen lain untuk mencapai kata sepakat sebelum membincangkan perkara itu dengan Fadillah.

Menjawab soalan Shahidan mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, Anwar menegaskan bahawa isu tersebut telah diserahkan kepada Fadillah.

“Saya sedia jumpa, tetapi kalau soal peruntukan, kita telah memberi mandat kepada TPM (Fadillah). Jadi, untuk hal itu saya serah kepada TPM. Jika mahu bincang hal-hal lain, saya tiada keberatan,“ jelasnya. - Bernama