LUMUT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau amat berpuas hati dengan kemajuan kerja-kerja pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh Lumut Naval Shipyard (Lunas) di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) di sini dan menyifatkannya sebagai membanggakan.

Perdana Menteri berkata kemajuan itu adalah bukti kerajaan meletakkan aset keselamatan negara sebagai keutamaan dan cerminan perubahan yang dibuat Kerajaan MADANI yang mementingkan tatakelola dan menekankan aspek ‘tadbir urus baik’.

“Kita meletakkan peranan Angkatan Tentera Laut (TLDM) itu sebagai benteng yang utama kerana perairan negara tidak terlepas daripada pelbagai kegiatan kemungkinan terrorisme, kemungkinan serangan negara-negara lain, penyeludupan, sebab itu saya setuju untuk meneruskan projek LCS di bawah Kementerian Kewangan.

“Pengalaman lepas (kelewatan) sebab pengurusannya, sebab tatakelolanya, sebab rasuahnya, kalau pengurusan itu lemah, bagaimana terjamin maritim ini selamat. Sebab itu kita tidak boleh lari daripada apa disebut good governance,” katanya ketika berucap pada Program Kenduri Rakyat Menyantuni Warga TLDM Lumut sempena Program MADANI Rakyat 2025 Perak di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Terdahulu Perdana Menteri melakukan lawatan kerja ke Lunas di Pangkalan TLDM Lumut, di sini bagi meninjau kerja-kerja pembinaan LCS.

Sementara itu Anwar berkata kerajaan juga sentiasa mengambil berat keperluan menambah baik aset- aset pertahanan negara, dan untuk tujuan itu kementerian pertahanan adalah antara kementerian diberikan peruntukan terbesar dalam belanjawan setiap tahun.

“Ini antara tiga (kementerian diberi peruntukan) terbesar... Yang pertama pendidikan, kedua kesihatan dan ketiga pertahanan. Untuk tahun 2025 sahaja RM21.2 bilion ringgit, bayangkan bukan kecil bagi negara yang berkembang, kita beri peruntukan yang besar,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan mengambil langkah itu sebagai menghargai pergorbanan pasukan keselamatan dan demi jaminan keselamatan negara yang stabil kerana kestabilan adalah faktor untuk ekonomi berkembang pesat.

Anwar juga berkata hati beliau tersentuh setiap kali mengetahui mengenai aset-aset keselamatan negara yang usang.

“Sebab itu sejak kita tubuh Kerajaan MADANI ini, saya panggil semua panglima-panglima (angkatan tentera), saya kata, berikan saya urutan keutamaan apa yang harus dilakukan dan kita cari dana yang cukup untuk persiapkan jentera dan kelengkapan yang diperlukan,” katanya.