KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu ini. Majlis tersebut bakal dihadiri oleh semua menteri luar ASEAN, termasuk Menteri Luar Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Sebelum majlis perasmian, Dr Kao dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada Anwar. Sesi Pleno AMM ke-58 akan diikuti dengan sesi pemukiman yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mesyuarat kali ini merupakan kesinambungan daripada pemukiman AMM sebelumnya di Langkawi pada Januari lalu, yang menekankan nasihat kepada Myanmar, penilaian kemajuan Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC), serta komitmen mengukuhkan perpaduan dan daya tahan ASEAN.
Agenda lain termasuk majlis menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang disaksikan oleh menteri-menteri luar ASEAN dan Dr Kao.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan.’ Sebanyak 24 mesyuarat peringkat menteri dijadual berlangsung, termasuk sesi libat urus bersama Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Lebih 1,500 perwakilan dari seluruh dunia hadir dalam perhimpunan empat hari bermula 8 hingga 11 Julai ini. Semua menteri luar ASEAN hadir kecuali Myanmar, yang diwakili pegawai kanan kementeriannya. Timor-Leste pula menyertai sebagai pemerhati.
Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015. Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu global dan serantau, memperkukuh kerjasama, serta memajukan agenda keselamatan dan kemampanan di rantau ini. - Bernama