• 2025-07-16 04:35 PM

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu memudahkan penganjuran Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman peserta terjamin walaupun penganjur tidak lagi diwajibkan memohon kebenaran daripada pihak polis. Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui ketetapan berkenaan sedikit menyukarkan gerak kerja PDRM dalam membuat perancangan kawalan keselamatan. “Jikalau penganjur disyaratkan maklum kepada polis, kita akan tahu lokasi perhimpunan dan anggaran jumlah peserta supaya kita dapat gerakkan kekuatan yang munasabah, bukan untuk menyekat, tetapi bagi memudah cara,“ katanya.

Saifuddin memberi jaminan bahawa PDRM akan mengendalikan kawalan keselamatan semasa himpunan itu secara profesional. Namun, beliau mengingatkan semua pihak agar mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Penganjur bertanggungjawab memastikan tiada senjata berbahaya dibawa, tiada ucapan yang menyentuh institusi diraja atau agama dimainkan, dan tiada penglibatan kanak-kanak,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan polis terhadap sebarang pelanggaran undang-undang bukan bermaksud menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya sebagai pelaksanaan undang-undang sedia ada.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saifuddin turut menyeru semua pihak menghormati proses lantikan hakim-hakim atasan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya peranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. - Bernama