• 2025-07-31 09:02 PM

SHAH ALAM: Polis sedang memburu enam lelaki tempatan yang terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah pusat snuker di Kapar, Klang, semalam.

Kejadian berlaku sekitar pukul 7 malam dengan suspek bersenjatakan parang berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM823.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao mengesahkan tiga suspek memasuki premis manakala tiga lagi menunggu di luar bersama tiga motosikal.

“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek bertindak menggugut penjaga kaunter sebelum melarikan wang,“ katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Klang Utara di talian 03-32912222.

Sebelum ini, video 52 saat tular di TikTok menunjukkan tiga suspek memakai topi keledar dan membawa parang memasuki pusat snuker tersebut.

Beberapa pelanggan dilaporkan sedang bermain snuker ketika kejadian. – Bernama