KOTA BHARU: Polis Kelantan merekodkan nilai rampasan kontraban sebanyak 171.5 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat hampir 78 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata nilai rampasan hanya RM37.2 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lepas.
Beliau berkata pencapaian itu sangat membanggakan dan bukti keberkesanan strategi operasi bersepadu khususnya selepas penutupan sempadan bermula Disember 2024.
“Kejayaan ini turut menggambarkan kesan positif hasil kerjasama strategik antara pelbagai agensi penguatkuasaan peringkat negeri dan Persekutuan.
“Sinergi yang terbentuk telah diolah secara optimum dan memberi kesan nyata terhadap kawalan keselamatan negeri,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi bulan Julai 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff menegaskan kejayaan besar ini tidak hadir secara kebetulan tetapi hasil usaha terancang, pengorbanan dan perancangan teliti seluruh pasukan.
Beliau menyeru supaya kerjasama rentas agensi terus diperkukuh, bukan sahaja untuk mengekalkan pencapaian semasa, malah sebagai pemangkin kepada usaha lebih agresif membanteras penyeludupan di sempadan.
“Matlamat kita bukan semata-mata meningkatkan statistik rampasan tetapi melindungi kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Kelantan secara menyeluruh,” katanya.
Mohd Yusoff turut menekankan keperluan mendesak penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.
Selain itu, aspek disiplin dan integriti anggota pasukan turut ditekankan sebagai tunjang kepada keyakinan rakyat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Amanah yang kita pikul ini bukan sekadar omongan kosong tetapi lambang tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya- BERNAMA