KUANTAN: Polis menumpaskan kegiatan penjualan daun ketum dengan merampas lebih 500 kilogram dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Gambang, Felda Lepar Hilir 1 semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata lapan lelaki tempatan berusia 18 hingga 46 tahun telah ditahan dalam operasi jam 2.40 petang itu.
Enam suspek ditahan di dalam dan bahagian belakang sebuah lori putih manakala dua lagi ditahan di garaj hadapan rumah tersebut.
Tiga daripada suspek mempunyai hubungan persaudaraan iaitu seorang bapa berusia 46 tahun yang dipercayai dalang utama bersama dua anaknya.
Polis menemui 23 bungkusan plastik lut sinar berisi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 509.7 kilogram.
Daun ketum itu diletakkan bersama ais dan disimpan dalam jerami padi sebelum dibalut plastik untuk mengekalkan kesegaran.
Peralatan memasak daun ketum turut dirampas termasuk dua dapur gas, dua periuk, sebuah penimbang dan tong gas.
Nilai pasaran daun ketum yang dirampas dianggarkan RM20,400 dan boleh mencecah RM52,500 jika diproses.
Daun ketum terbabit boleh digunakan oleh kira-kira 3,500 individu mengikut anggaran pihak polis.
Sindiket ini menggunakan lori sewa untuk mengaburi pihak berkuasa dalam aktiviti jual beli yang disyaki aktif sejak Julai lepas.
Dua suspek iaitu pemandu dan kelindan lori mengaku menerima upah RM1,200 bagi setiap penghantaran.
Mereka juga mengaku menerima tempahan dan menyewa lori untuk menghantar ketum di sekitar Kuantan.
Kenderaan berlogo syarikat penghantaran itu telah digunakan sekurang-kurangnya empat kali untuk urusan penghantaran.
Kesemua suspek yang negatif saringan awal air kencing direman empat hari sehingga 20 Oktober.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Bernama