KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan seorang lelaki serta merampas 56.22 kilogram (kg) dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM173,600, iaitu rampasan terbesar di Pahang tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Pahang DCP Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berumur 39 tahun yang dipercayai ‘tokan’ besar atau pengedar dadah itu diberkas hasil serbuan di kawasan tepi jalan di Lorong Seri Mahkota Permai di sini Sabtu lepas, kira-kira 1.30 tengah hari susulan dua bulan intipan.

Beliau berkata suspek ketika itu berada dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi disyaki sedang menunggu pelanggan dan pihaknya menemukan 54 ketulan mampat dedaun kering kehijauan dipercayai ganja dalam bonet kereta itu.

“Hasil risikan mendapati suspek bekerja sendiri, pengedar utama atau ‘tokan’ besar yang mana sumber dadah itu diambil dari negara jiran dan pasarannya di Pahang dan sudah menjalankan kegiatan ini hampir setahun,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang di sini hari ini.

Noor Hisam berkata dadah yang dirampas boleh digunakan oleh lebih 56,000 penagih dan dengan tertangkapnya suspek, JSJN Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran ganja di sekitar Kuantan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati lelaki warga tempatan itu positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai 13 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Lelaki itu direman tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.