• 2025-07-27 07:16 PM

JERTIH: Polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang melibatkan peniaga makanan wanita selepas menahan seorang suspek lelaki di Kampung Gong Medang, Besut.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad memaklumkan suspek berusia 32 tahun itu ditahan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Besut.

“Suspek disyaki terlibat dalam kegiatan samun bersenjata pisau sejak bulan lepas. Mangsa kesemuanya peniaga makanan yang melakukan penghantaran ke rumah,“ kata Azamuddin dalam sidang media di IPD Besut.

Menurutnya, suspek akan mengenal pasti peniaga wanita yang menawarkan perkhidmatan COD sebelum memberikan alamat rumah kosong di kawasan terpencil.

“Apabila mangsa tiba, suspek akan mendekati kereta sambil mengacukan pisau untuk merampas barang kemas,“ jelasnya.

Dua mangsa pertama mengalami kerugian anggaran RM30,000 termasuk wang tunai RM200.

Mangsa ketiga berjaya melawan tetapi mengalami kecederaan di kedua-dua tangan.

Polis merampas dua ketul emas seberat 82.26 gram, kereta Honda City, dan dua telefon bimbit milik suspek.

“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing negatif dadah,“ tambah Azamuddin.

Suspek kini direman mengikut Seksyen 392/397 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – Bernama