KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan lebih 2,000 anggota bagi memastikan kawalan keselamatan semasa perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 26 Julai ini. Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata pihaknya telah menerima notis penganjuran perhimpunan tersebut daripada penganjur.
“Kita telah mengenal pasti empat lokasi utama di mana peserta akan berkumpul sebelum bergerak ke Dataran Merdeka, iaitu di Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara, dan Pasar Seni,“ jelasnya. Beliau turut menyatakan bahawa unjuran Cawangan Khas PDRM menganggarkan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 orang.
Mohamed Usuf menegaskan bahawa walaupun hak berhimpun secara aman dijamin, peserta dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang provokasi atau tindakan yang boleh mengancam keselamatan awam. “Mereka mempunyai hak untuk berucap, tetapi jika terdapat unsur provokasi atau isu sensitif seperti 3R, tindakan tegas akan diambil,“ katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk menutup jalan setakat ini, namun pemantauan berterusan akan dilakukan bagi menilai situasi pada hari perhimpunan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Usuf berkata siasatan kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh masih berjalan dengan 48 saksi telah dirakam keterangan. “Setakat ini, tiada petunjuk baharu yang membantu siasatan,“ ujarnya. Pamela dilaporkan hilang pada 9 April lalu ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan - Bernama