• 2025-08-01 02:11 PM

MUAR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dalam empat siri serbuan serentak di Johor dan Lembah Klang pada 21 Julai lepas yang menyaksikan rampasan dadah bernilai lebih RM2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi yang dijalankan antara 2 hingga 5 petang itu hasil risikan sejak Oktober 2024 dan membawa kepada penahanan 10 individu berumur 29 hingga 70 tahun, terdiri lapan lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Serbuan pertama di Parit Pulai, Parit Jawa, Muar menyaksikan penahanan seorang lelaki tempatan yang memandu kereta jenis Lexus. Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan 51 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 51.1 kilogram.

“Dua lagi individu, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita tempatan turut ditahan dalam pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di sini hari ini.

Serbuan kedua di sebuah rumah di Tanjung Labuh, Batu Pahat membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai ketua sindiket, manakala lima lagi suspek ditahan dalam serbuan ketiga di Jalan Parit Bakar, Muar.

Dalam serbuan keempat di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur, seorang lagi lelaki tempatan diberkas bersama dadah disyaki methamphetamine seberat 10.2 kilogram dan 105 biji pil ekstasi seberat 51.3 gram.

Secara keseluruhan, sebanyak 61.3 kilogram methamphetamine dan 105 biji pil ekstasi dirampas, dengan nilai pasaran dianggarkan RM2 juta yang mampu menjejaskan 306,756 individu.

Hussein berkata siasatan lanjut mendapati lima daripada suspek yang ditahan merupakan anggota operasi utama penghantaran dadah untuk pasaran Indonesia termasuk tekong darat, pemandu bot serta penghantar yang berperanan membawa dadah merentasi sempadan menggunakan laluan air.

“Mereka bekerja sepenuh masa dalam kegiatan pengedaran ini tanpa pekerjaan tetap dan menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM15,000 sebulan,” katanya.

Siasatan turut mendapati enam daripada suspek positif pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, methamphetamine, THC dan benzo, manakala tiga individu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan senjata api.

Polis turut menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM725,655 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk lima kereta pelbagai jenama, dua motosikal Yamaha T-Max, jam tangan mewah, barang kemas, sembilan beg tangan dan dompet berjenama serta wang tunai RM2,580.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan- BERNAMA