SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin base yang berpangkalan di utara negara.
Tiga lelaki ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut merampas 47.526 kilogram (kg) heroin base dan 920 gram heroin bernilai RM4.13 juta.
Serbuan pertama dilakukan di USJ 19/4, Subang Jaya, dengan penahanan seorang lelaki yang membawa 14.52 kg heroin base dan 920 gram heroin dalam sebuah kereta.
Dadah itu disembunyikan dalam ruang khas di belakang tempat duduk penumpang.
Seterusnya, polis menyerbu sebuah rumah di Seri Kembangan dan merampas 22.55 kg heroin base.
Suspek ketiga ditahan di sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang, sebelum polis menemui 7.456 kg heroin base di sebuah rumah berdekatan.
Hussein menjelaskan suspek ketiga dipercayai sebagai dalang sindiket yang aktif sejak awal tahun lepas.
Dua lagi suspek bertindak sebagai pengedar dengan upah RM4,000 bagi setiap perjalanan membawa dadah dari utara ke Lembah Klang.
“Heroin base ini adalah bahan asas yang akan diproses menjadi pelbagai jenis dadah sebelum dijual pada harga tinggi,“ katanya.
Ketiga-tiga suspek direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama