KUALA LUMPUR: Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman menumpaskan kegiatan pemburuan dan pemerdagangan hidupan liar dalam dua serbuan berasingan di Perak dan Kedah, pada 24 Julai lepas.
Pengarah JKDNKA Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata serbuan dilakukan hasil risikan bersepadu melibatkan kerjasama strategik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak dan Kedah serta pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata dalam serbuan pertama yang dijalankan di sebuah kediaman di Lumut, Perak pada 9.45 pagi, pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 61 tahun dan merampas pelbagai spesies haiwan liar.
“Antaranya tujuh bangkai babi hutan, 148 bungkus bahagian biawak air, 80 bungkusan mengandungi ketulan disyaki bahagian babi hutan dan seekor biawak hidup. Turut dirampas senapang jenis Benelli Raffaello Elegant, 30 butir peluru, 40 kelongsong peluru, serta tali pinggang sarung peluru.
“Pasukan serbuan juga menemukan empat telefon bimbit, lima unit peti sejuk beku, seutas rantai leher bersama dua loket berwarna kuning keemasan yang disyaki kuku harimau seberat 189.12 gram, satu bahagian tulang kepala disyaki babi hutan, serta 23 bahagian disyaki hempedu biawak air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM150,895 dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) melibatkan Seksyen 60(1)(a), Seksyen 60(1)(b) dan Seksyen 68(1)(b) iaitu berkaitan kesalahan memburu, menyimpan atau memiliki bahagian serta terbitan hidupan liar dilindungi tanpa lesen atau permit khas.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 atas kesalahan melepaskan tembakan tanpa kelulusan,” katanya.
Azmi berkata selain itu, Majlis Perbandaran Manjung turut mengeluarkan tiga notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2017 atas kesalahan memelihara binatang ternakan tanpa lesen, menjalankan aktiviti penyimpanan daging beku tanpa lesen dan menyembelih atau mengeluarkan isi perut binatang tanpa lesen yang sah.
“Notis amaran turut dikeluarkan di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terhadap pemilik premis atas kesalahan binaan tanpa kelulusan,” katanya.
Sementara itu, dalam serbuan kedua pada 12.45 tengah hari di Kupang, Kedah pula, Azmi berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun dan merampas 20 ekor burung murai batu atau Copsychus Malabaricus yang dianggarkan bernilai RM200,000.
“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Kedah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Azmi berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Julai tahun ini, WCB/PSK telah melaksanakan 178 serbuan di seluruh negara dengan 311 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barang tidak berkastam, penjualan senjata tiruan, e-waste dan pemerdagangan hidupan liar dianggarkan berjumlah RM546.26 juta.
Pada masa sama beliau turut menyeru orang awam untuk menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras jenayah ini demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam - BERNAMA