MAKKAH: Presidensi Am Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Arab Saudi menggesa para jemaah Haji supaya mematuhi langkah-langkah kesihatan dan keselamatan bagi memastikan ibadah Tawaf dapat dilakukan dengan lancar dan selamat pada musim Haji tahun ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Antara garis panduan yang dikeluarkan termasuk mengelakkan dehidrasi, berehat apabila penat untuk menghindari kelesuan haba, menjauhi kawasan sesak demi keselamatan diri dan orang ramai, menggunakan payung bagi melindungi daripada strok haba, serta memakai pelitup muka di kawasan yang padat bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Nasihat itu dikeluarkan susulan ketibaan jutaan jemaah di Makkah untuk melakukan ibadah haji, yang lazimnya berlangsung dalam musim panas.
Dalam perkembangan berkaitan, Presidensi memasang 12 skrin 3D beresolusi tinggi dan tahan cuaca untuk meningkatkan perkhidmatan kesedaran dan panduan kepada jemaah sepanjang tempoh Haji.
Skrin-skrin itu dipasang secara strategik di pintu masuk, pintu keluar, kawasan dan jalan sekitar Masjidil Haram.
Ia beroperasi 24 jam sehari, memaparkan maklumat penting dan mesej kerohanian.
Satu pasukan teknikal ditugaskan menguruskan kandungan skrin secara jarak jauh dari bilik kawalan pusat bagi memastikan ketepatan dan kualiti maklumat yang disampaikan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen Presidensi untuk memanfaatkan teknologi canggih bagi menyokong para jemaah menunaikan ibadah, sejajar dengan arahan kepimpinan Kerajaan Arab Saudi.