KUANTAN: Sebanyak tujuh borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sudah terjual setakat ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Datuk Zamree Hamli berkata semua borang itu dibeli UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan sebuah pertubuhan.

“UMNO dan PN masing-masing membeli tiga set borang, manakala bakinya dibeli oleh Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP),“ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

PRK Pelangai akan berlangsung pada 7 Okt ini, susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

SPR menetapkan hari penamaan calon pada 23 Sept ini, manakala 3 Okt ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

BN dan PN dijadualkan mengumumkan calon mereka pada malam esok di bandar Bentong dan Pelangai.

Pada 29 Ogos lepas, Presiden PSAP Haslihelmy DM Zulhasli yang merupakan anak jati Pelangai menjadi individu pertama ke pejabat SPR untuk membeli borang penamaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN Kasim Samat, Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Pejuang Isa Ahmad. - Bernama