PAPAR: Sebanyak 16 projek pembangunan fizikal di bawah program Kampung Angkat MADANI (KAM) di Mukim Kaiduan telah siap sepenuhnya, memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk setempat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif ini dilaksanakan dengan peruntukan RM2.5 juta sejak Mei tahun lepas.
Penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang, dan Kampung Bolotikon kebanyakannya dari golongan B40 yang bergantung pada hasil pertanian dan jualan di tamu tempatan. “Mereka sering menghadapi cabaran seperti jambatan gantung yang rosak ketika banjir. Projek LLC di Kampung Ulu Kaiduan memudahkan pergerakan walaupun paras air sungai tinggi,“ jelas Armizan.
Antara projek lain termasuk pembaikan sistem pembetung, pembinaan jambatan baharu, dan naik taraf jalan. Fasiliti komuniti seperti surau, dewan serbaguna, dan gelanggang sepak takraw turut dibangunkan. Pemasangan lampu solar di tiga kampung juga dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan penduduk.
Program KAM bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dengan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, dan akses internet. Pemilihan Mukim Kaiduan berdasarkan kriteria liputan kemudahan asas di bawah 50 peratus.
Armizan menambah, kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk KAM tahun ini, dengan fokus baru pada pembangunan sosioekonomi dan potensi ekopelancongan di kawasan tersebut. “Kita akan teruskan program di Mukim Kaiduan, bukan sekadar projek fizikal tetapi juga aktiviti ekonomi,“ katanya. - Bernama