KOTA BHARU: Tiada kawalan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan remaja di Kelantan dikenal pasti sebagai salah satu punca peningkatan kes gejala sosial termasuk rogol.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, berkata akses tanpa had kepada kandungan tidak sesuai serta pengaruh rakan sebaya menyumbang kepada tingkah laku negatif golongan muda.
Beliau memberi contoh kes terbaharu di mana seorang pelajar perempuan dirogol lelaki yang dikenali melalui aplikasi media sosial.
“Mangsa sanggup meredah perjalanan jauh semata-mata untuk bertemu individu tersebut,“ katanya selepas Majlis Liputan Media Sempena Karnival Rakyat di Kompleks Kota Darul Naim.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, sebelum ini mendedahkan dua pelajar perempuan berusia 14 tahun dari Tumpat ke Kulim, Kedah, menaiki motosikal lebih 500 kilometer untuk bertemu lelaki tidak dikenali. Pertemuan itu berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya mendakwa dirogol.
Rohani menekankan peranan aktif ibu bapa dalam memantau aktiviti anak-anak termasuk menetapkan had masa penggunaan gajet. “Pendidikan awal keselamatan digital juga penting,“ ujarnya.
Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti Dasar Pendidikan Rabbani di sekolah Yayasan Islam Kelantan dan penubuhan Mawaddah Centre pada 2022. Pusat itu menangani hampir 250 kes tahun lalu termasuk isu penceraian dan perbalahan keluarga.
Sementara itu, Karnival Rakyat akan diadakan selama empat hari bermula 29 Julai di Masjid Jamek Muhammadi dengan sasaran 10,000 pengunjung.
Antara program termasuk penganugerahan tokoh dan rekod Malaysia Book of Records bagi Program Jahit Kasih melibatkan 1,000 tukang jahit.