SEREMBAN: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun direman selama tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Persiaran Senawang 1 awal pagi tadi.
Kejadian itu melibatkan dua buah kereta dan mengakibatkan kecederaan parah kepada salah seorang mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din, kemalangan berlaku pada jam 2.55 pagi apabila kereta Proton Satria yang dipandu remaja tersebut dipercayai terbabas selepas cuba mengelak sebuah kenderaan yang berhenti secara tiba-tiba.
Kereta itu kemudian melanggar tiang lampu dan pokok sebelum memasuki laluan bertentangan serta merempuh kereta Perodua Axia.
“Pemandu Proton Satria mengalami cedera ringan, manakala seorang penumpang wanita berusia 18 tahun dalam kereta Axia cedera parah dan sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
Empat lagi individu dalam kereta sama cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar,“ jelas Mohammad Hatta dalam kenyataan rasmi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan masih berterusan bagi menentukan punca sebenar kemalangan.
Sebuah video berdurasi 2 minit 30 saat yang tular di Facebook menunjukkan detik-detik kemalangan tersebut, termasuk saat kereta Proton Satria merempuh kenderaan di laluan bertentangan. – Bernama