PUTRAJAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu memberi tumpuan kepada sektor agromakanan sebagai keutamaan strategik, dengan pelaksanaan yang berkesan di peringkat akar umbi bagi memastikan kesejahteraan petani, peladang, dan nelayan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan perkara itu semasa pertemuan dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, di Wisma Tani hari ini. Beliau berkata, RMK13 yang akan dibentangkan pada 30 Julai ini harus berlandaskan nilai-nilai teras Malaysia MADANI, iaitu Kesejahteraan, Ihsan, dan Keberdayaan.
“RMK13 tidak boleh tinggal sebagai dokumen di atas kertas semata-mata dan ia mesti diterjemah ke lapangan. Mesti sampai kepada rakyat. Kita mahu lihat petani lebih berdaya saing, peladang lebih produktif, nelayan lebih terbela,“ katanya dalam catatan di Facebook.
Mohamad menekankan pentingnya kerjasama erat antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan reformasi pertanian berjaya dilaksanakan. “Inilah wajah Pertanian MADANI yang kita impikan, pembangunan yang adil, saksama dan mampan tanpa ada sesiapa yang tertinggal di belakang,“ ujarnya.