• 2025-07-31 02:46 PM

KUALA LUMPUR: Usaha mereformasikan industri semikonduktor tempatan dan mencergaskan industri perkhidmatan global bernilai tinggi merupakan antara tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebagai langkah memperkukuh kerencaman ekonomi negara.

Menurut Dokumen Utama Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026–2030 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” yang dilancarkan hari ini, inisiatif tersebut selari dengan komitmen kerajaan untuk melonjakkan pertumbuhan industri Pertumbuhan Tinggi Nilai Tinggi (HGHV) serta sektor strategik berimpak tinggi.

“Pelaksanaan kerjasama ini akan berasaskan model pelaburan berpaksikan teknologi dan harta intelek (IP), dengan penglibatan aktif syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang mengutamakan syarikat tempatan sebagai rakan kongsi strategik serta mekanisme pengambilalihan ke atas syarikat teknologi tinggi.

“Inisiatif ini dijangka dapat melahirkan jaguh tempatan bertaraf global dalam reka bentuk litar bersepadu, melonjakkan keupayaan pengeluaran produk bernilai tinggi ‘Made by Malaysia’, dan meningkatkan bilangan bakat berkemahiran tinggi,” kata dokumen itu.

Bagi pembangunan ekonomi digital, kerajaan menekankan keperluan memperkukuh ekosistem menyeluruh merangkumi pelaksanaan dasar, kecekapan operasi serta infrastruktur digital.

Teknologi seperti digital twin dan platform hiperperibadi dijangka dimanfaatkan untuk memadankan permintaan industri dengan penyelesaian teknologi tempatan.

“Ekosistem bagi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar serantau teknologi digital, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), akan diperkukuh melalui inisiatif berkaitan data, platform pengujian dan pemadanan, serta keupayaan keselamatan siber,” kata dokumen itu.

Di bawah agenda ekonomi hijau, Malaysia menetapkan sasaran mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Pelaksanaan inisiatif seperti pasaran karbon, pembangunan tenaga boleh baharu (TBB), dan peluasan akses kepada pembiayaan hijau akan digerakkan bagi menyokong pertumbuhan rendah karbon.

“Malaysia komited melaksanakan pendekatan yang pragmatik dan bersasar bagi menjadikan kelestarian sebahagian daripada model ekonomi arus perdana,” kata laporan itu.

Antara sepuluh keutamaan di bawah agenda Kerencaman Ekonomi yang digariskan dalam dokumen itu termasuk pengukuhan ekonomi hijau dan biru, peningkatan produktiviti negara, penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pemerkasaan sektor ketiga, pembangunan industri berimpak tinggi, keterjaminan makanan, mitigasi banjir, penambahbaikan pengangkutan awam, serta pemantapan ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) -BERNAMA