KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM474.55 juta bagi pembangunan modal insan pada tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata keutamaan program pembangunan modal insan antaranya biasiswa dan geran pendidikan.
Hajiji berkata kerajaan Sabah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban golongan belia melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) seperti bantuan tunai sekali beri untuk membayar yuran pendaftaran di bawah program Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI).
“Inisiatif itu dilakukan kerana keperluan dan kebajikan pelajar adalah agenda utama kerajaan negeri,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kenyataan itu bersempena majlis penutup Sukan MASISWA Zon Sabah 2023 di University College Sabah Foundation (UCSF) di sini, malam tadi.
Hajiji juga menyeru pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan awam untuk terus menyokong proses pembangunan kerajaan negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan semua agenda pembangunan dalam pelan Hala Tuju SMJ berjaya dilaksanakan.
Mengenai perkembangan terkini UCSF, Ketua Menteri yang juga Canselor UCSF berkata beliau menyokong sepenuhnya perancangan universiti untuk mewujudkan kampus di luar Kota Kinabalu.
“Selaku Canselor UCSF, saya sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan tinggi di Sabah dan institusi milik kerajaan negeri.
“Saya mengambil maklum perkara positif yang diumumkan Naib Canselor dan sebagai susulan kepada keputusan kerajaan negeri untuk menyediakan dana penyelidikan dan pembangunan.
“Saya difahamkan Pusat Kajian Pembangunan UCSF sedang menjalankan beberapa penyelidikan. Saya percaya dengan keupayaan dan kekuatan penyelidikan sekarang, UCSF mampu menghasilkan penyelidikan dalam pelbagai bidang pengajian,“ katanya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata Sukan MASISWA (Majlis Sukan IPTS Malaysia) atau institusi pengajian tinggi antara swasta (IPTS) merupakan platform terbaik untuk membentuk “Atlet Berfikir”.
Seramai 1,600 atlet dan pegawai dari 17 institusi berkumpul selama empat hari di kampus UCSF untuk bersaing dalam sembilan acara.–Bernama