KUALA LUMPUR: Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama pelbagai agensi sedang menyiapkan kemudahan bagi 100,000 pengunjung yang dijangka hadir menyambut Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Jurutera PPj Faridz Amli Shaharudin berkata sebanyak 8,000 tempat duduk disediakan untuk orang ramai dan akan dibuka seawal pukul 5 pagi.
Kemudahan lain termasuk 200 tandas awam, lima surau sementara, dua surau bergerak, dan 18 khemah perubatan.
Lebih 40 tapak trak makanan dan 14 skrin LED turut disediakan sepanjang laluan perbarisan sejauh 2.1 kilometer.
“PPj menyediakan 80 bas ulang-alik percuma bermula pukul 4 pagi dari Putrajaya Sentral, PICC, dan Bulatan Putrajaya,“ kata Faridz.
Enam teksi air dan tiga Cruise Tasik Putrajaya turut disediakan bagi memudahkan pengunjung.
Persiapan sambutan setakat ini mencapai 70 peratus melibatkan 17 jawatankuasa kerja.
Pemasangan Royal Box dan 1,400 tempat duduk kenamaan sudah hampir 80 peratus siap.
Raptai awal akan diadakan pada 26 Ogos manakala raptai penuh pada 29 Ogos dan terbuka kepada orang ramai.
Faridz mengingatkan pengunjung mematuhi peraturan keselamatan dan membawa payung atau baju hujan.
Program prasambutan Riuh Merdeka akan berlangsung selama 30 jam bermula 30 Ogos di Monumen Alaf Baru.
Aktiviti termasuk konsert, wayang pacak, dan gerai jualan turut diadakan.
Maklumat terkini boleh diakses melalui platform media sosial rasmi Merdeka360. - Bernama