PUTRAJAYA: Malaysia masih tersenarai sebagai negara dengan prevalen diabetes tertinggi di Asia Tenggara iaitu satu daripada enam rakyat Malaysia menghidap diabetes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 yang diumumkan baru-baru ini turut menunjukkan peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu dari 50.1 peratus pada 2019 kepada 54.5 peratus (2023).

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil pelbagai pendekatan untuk mengukuhkan lagi langkah bagi membendung masalah ini melalui Perang Terhadap Gula atau ‘War on Sugar’ manakala Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 telah dibangunkan dan dilancarkan pada 29 Jun 2024.

“Pelan ini mengandungi enam strategi utama dengan 38 inisiatif dan 65 aktiviti yang merangkumi polisi, advokasi dan kerjasama awam swasta melalui pendekatan masyarakat dan negara yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam usaha menggiatkan program di peringkat komuniti untuk mengurangkan pengambilan gula harian, katanya pada 2023 KKM telah menjalankan saringan kepada 64,846 individu di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) melalui Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) WOW di tempat kerja dan KOSPEN di komuniti.

Selain itu, KKM telah menubuhkan 33 Wellness Hub di seluruh negara bagi meningkatkan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti secara bersasar dalam pembudayaan hidup sihat termasuk mengurangkan pengambilan gula, dengan jumlah sebanyak 765,843 klien telah mendapatkan perkhidmatan berkenaan bagi tempoh 2020 hingga 2023.

“Usaha ini turut diperkukuh oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut melancarkan Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’,” katanya yang mengambil serius tentang pengambilan gula berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata larangan penjualan makanan dan minuman tinggi gula seperti minuman berperisa, minuman dibancuh dengan kordial dan minuman berkarbonat juga telah diperluas ke seluruh kawasan sekolah termasuk kantin di samping menggalakkan sekolah menyediakan sumber air kosong.

Perkara yang sama juga diterapkan semasa mesyuarat melalui pelaksanaan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu, KKM telah melaksanakan Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL) pada 2017 dan pengenaan cukai ke atas minuman manis bergula sejak Julai 2019.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta rakyat Malaysia untuk berganding bahu bagi memerangi pengambilan gula berlebihan di Malaysia, yang merupakan antara penyebab utama pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan terutamanya obesiti dan diabetes.