• 2025-06-19 09:15 PM

KOTA KINABALU: Sektor pelancongan kekal sebagai pemacu ekonomi di Sabah dengan mewujudkan lebih daripada 380,000 peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata industri pelancongan Sabah menyumbang kira-kira 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lepas dan mencatat pencapaian signifikan pada tahun 2023, apabila menyumbang sebanyak RM13.1 bilion kepada ekonomi negeri.

“Namun, statistik semata-mata tidak menceritakan keseluruhan cerita. Di sebalik setiap angka, terletak kehidupan, keluarga, dan individu yang menyumbang kepada ekonomi pelancongan. Kita telah menyaksikan sendiri bagaimana pelancongan dapat memperkasakan komuniti, dan kita berbangga dengan kemajuan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran ASEAN Travel Exchange (ATEX 2025) di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.

Hajiji berkata Sabah merupakan tempat kepada ramai pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, yang digerakkan oleh individu serta keluarga dari kampung-kampung tempatan, terutamanya komuniti luar bandar, yang mencipta pengalaman unik yang benar-benar menggambarkan keistimewaan bercirikan Sabah.

“Setakat ini, pelancongan berasaskan komuniti terus berkembang di Sabah, disebabkan potensinya yang besar dalam merangsang ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.

“Pada tahun 2024, jumlah sumbangan hasil negeri daripada sektor ini mencecah RM7 juta yang datang dari 18 daerah aktif. Lebih banyak inisiatif berasaskan komuniti di daerah luar bandar sedang diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri turut kekal komited terhadap pembangunan industri pelancongan.

“Kita sedang melabur dalam infrastruktur melalui kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang sedang berjalan, penambahbaikan jalan raya yang menghubungkan kawasan pelancongan luar bandar, serta platform digital yang dipertingkatkan untuk mempromosi dan mengurus pengalaman pelawat secara efektif.

“Kita sedang membina asas kepada ekonomi pelancongan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan. Strategi Sabah termasuklah penerapan prinsip ekonomi hijau, pendigitalan, serta memperkukuh profil kita sebagai lokasi dan tuan rumah utama bagi acara pelancongan antarabangsa,” katanya.

Hajiji berkata ATEX 2025 merupakan pencapaian penting bagi Sabah, kerana ia memberikan peluang kepada negeri itu bukan sahaja sebagai destinasi, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam membentuk masa depan pelancongan ASEAN.

“Kita mengalu-alukan para pemimpin industri dari seluruh rantau ke negeri ini, mengajak semua untuk mengeratkan persahabatan, mencetuskan peluang perniagaan baru dan berkongsi dalam perjalanan yang masa depan,” katanya.