KYIV: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 42 lagi cedera dalam serangan udara Rusia ke atas sebuah penjara di Wilayah Zaporizhzhia, menurut Kementerian Kehakiman Ukraine pada Selasa.
Empat bom yang disasarkan membedil koloni pemulihan Bilenkivska di wilayah itu kira-kira 11.28 malam (2028 GMT) pada Isnin, menurut kenyataan kementerian di saluran Telegram rasmi.
“Serangan memusnahkan bangunan utama institusi berkenaan, termasuk ibu pejabat pentadbiran,“ kata kementerian itu.
Media Ukraine melaporkan, sekurang-kurangnya 42 banduan dimasukkan ke hospital dengan kecederaan serius, manakala 40 lagi cedera ringan.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Rusia dan Ukraine saling melancarkan serangan dron dan peluru berpandu, menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur di kedua-dua pihak. - Bernama-Xinhua