Your Title

IPOH: Dua individu, termasuk seorang remaja perempuan ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM60,000 dalam serbuan di kebun kelapa sawit di Ayer Tawar, Manjung pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata kedua-dua suspek berusia 47 dan 17 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung kira-kira pukul 12.10 tengah malam.

“Polis menemui dadah disyaki jenis heroin dan methamphetamine dalam serbuan tersebut. Susulan tangkapan itu, serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Pundut, Lumut, turut menemukan dadah bernilai RM60,357,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata pihaknya turut merampas sebuah Proton Saga, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM200 dengan anggaran sitaan sebanyak RM14,200.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif jenis Mop dan methamphetamine dan mereka direman selama seminggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Dalam perkembangan lain, Hasbullah berkata pihaknya menahan 15 lelaki termasuk dua lelaki warga Vietnam kerana memiliki dadah dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa 2, Sitiawan dekat Manjung, menerusi Op Pusat Hiburan, awal pagi Jumaat lepas.

“Serbuan pada pukul 3 pagi itu menemukan dadah seperti kanabis, Erimin 5, ketamin, dan ecstasy, dengan nilai keseluruhan RM91,125,“ katanya.

Seramai 70 individu ditahan dalam operasi tersebut, dan hasil ujian air kencing mendapati 38 lelaki serta 16 wanita positif dadah.

Semua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.