SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee menegaskan kepentingan untuk memasukkan sokongan kesihatan mental dalam pelan pemulihan bencana bagi mengembalikan harapan dan kesejahteraan emosi mereka terlibat.
Beliau berkata perkara tersebut penting kerana Sarawak berdepan banjir semasa musim tengkujuh setiap tahun yang menyebabkan ramai berdepan ketakutan, kehilangan dan kesukaran.
“Apabila air surut, ramai yang masih berasa cemas atau sedih.”
“Pemulihan bukan sahaja tentang membina semula rumah tetapi juga memulihkan harapan dan memberi mereka ketenangan,” katanya.
Tiang berkata demikian pada sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sibu dengan tema “Akses kepada Kesihatan Mental Semasa Bencana dan Kecemasan” di sini hari ini.
Beliau juga merujuk kepada dapatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bahawa seorang daripada lima individu boleh berdepan cabaran kesihatan mental selepas bencana besar.
Selain itu, beliau menyentuh kepentingan bantuan awal psikologi yang menekankan memberi sokongan emosi dan membantu menghubungan individu terjejas dengan bantuan bersesuaian.
“Dalam masa sukar, mereka memerlukan belas kasihan sebelum perkara lain.”
“PFA membantu kita untuk berbuat demikian dan memberi sokongan kepada pihak terlibat,” katanya.
Tiang memuji pasukan Hospital Sibu, sukarelawan dan agensi berkaitan kerana menerapkan prinsip PFA kepada mangsa banjir baru-baru ini.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Lembaga Pelawat, pemimpin masyarakat, sekolah, badan bukan kerajaan, pertubuhan keagamaan dan swasta atas sumbangan mempromosikan kesihatan mental melalui program turun padang, kaunseling dan aktiviti kesedaran.
Beliau juga berterima kasih kepada media yang membantu membentuk pemahaman orang ramai tentang kesihatan mental.
“Apabila media melaporkan kesihatan mental dengan empati dan kejujuran, anda mengubah cara orang ramai melihatnya dan membantu lebih ramai berasa selamat untuk meminta bantuan,” katanya. – Bernama