KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah lucut hak terhadap wang USD954,299.58 (kira-kira RM4.05 juta) dalam akaun BSI Bank, Switzerland yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan lucut hak terbabit merupakan kejayaan pertama SPRM melibatkan aset luar negara tanpa perlu melalui proses pendakwaan.

“Kebenaran lucut hak itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Muniandy Kannyappan selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa tiada bantahan serta tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Jenayah 2 Kuala Lumpur, hari ini.

“Menerusi penghakimannya, Hakim Muniandy Kannyappan membenarkan wang dalam akaun perbankan atas nama Derivale Limited, milik Azlin Alias selaku pemegang benifisiari dilucutkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi SPRM,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan lucut hak bagi wang berkenaan dibuat di Bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).