KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan 32 individu setakat ini bagi membantu siasatan kes sindiket penyeludupan besi buruk dan e-sisa.
Operasi serbuan sebelum ini dilakukan di lima negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, dan Johor.
Menurut sumber, SPRM sedang mengenal pasti beberapa individu lain untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan elemen rasuah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM.
“SPRM sebelum ini telah mengambil keterangan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan tersebut namun tiada sebarang tangkapan dilakukan,“ kata sumber tersebut.
Jumlah sitaan dan pembekuan akaun membabitkan kes ini setakat ini melebihi RM332 juta.
Kerugian hasil cukai eksport akibat kegiatan penyeludupan ini dianggarkan mencecah RM950 juta.
Tujuh serbuan dilakukan di Selangor, enam di Pulau Pinang, empat di Kedah, dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Johor.
Operasi ini menyasarkan pusat penyimpanan besi buruk, pejabat, dan kediaman individu yang disyaki terlibat. – Bernama